KUALA LUMPUR, 9 Jun – Nilai eksport kayu dan produk kayu Malaysia telah meningkat 33 kali ganda kepada RM25.2 bilion pada 2022 berbanding RM749 juta pada 1973 di bawah pimpinan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, dalam tempoh 50 tahun, produk perkayuan yang dieksport ke seluruh dunia turut meningkat kepada 24 produk pada 2022 berbanding empat produk pada 1973.

“Jelas sekali, sumbangan sektor ini kepada ekonomi negara amat besar. Justeru, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat terutamanya MTIB atas usaha gigih yang berterusan dalam memajukan dan meningkatkan pertumbuhan industri kayu Malaysia secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Malam Apresiasi MTIB bersempena dengan sambutan Jubli Emas 50 tahun MTIB di sini malam ini.

MTIB ditubuhkan pada 1 Jun 1973 di bawah Akta 105 Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Perbadanan) 1973. 

Fadillah berkata hasil daripada perkhidmatan berkualiti dan kerjasama yang baik antara MTIB dan pihak industri telah membantu industri perkayuan untuk terus berkembang.

Menurutnya beliau berharap usaha itu dapat diteruskan bagi memperkukuhkan lagi industri perkayuan negara, khususnya dalam berdepan dengan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here