KUALA LUMPUR, June 9 – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan HeiTech Padu Bhd semalam untuk membangun dan terlibat dalam Program CARES (Penyelidikan Keselamatan Siber Terkedepan untuk Sektor Tenaga).

UNITEN dalam kenyataan berkata Program CARES yang akan memacu penyelidikan, inovasi dan pendidikan dalam domain keselamatan siber merangkumi pelbagai komponen, menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam memajukan bidang keselamatan siber.

Menurut kenyataan itu usaha kolaboratif tersebut merangkumi inisiatif penyelidikan dan pembangunan, inovasi dalam bidang keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI) serta penghasilan kandungan modul bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Keselamatan Siber dan Sijil Profesional.

“Satu daripada hasil utama perkongsian ini ialah penubuhan usaha sama Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CoE) yang akan berfungsi sebagai hab penyelidikan dan inovasi dalam sektor tenaga.

“CoE ini akan memudahkan kerjasama antara pakar industri dan pelajar sarjana muda dan pascasiswazah UNITEN, menyediakan peluang berharga untuk latihan industri, latihan amali dan perkongsian pengetahuan,” katanya.

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan di UNITEN Kampus Putrajaya yang dipengerusikan Naib Canselor UNITEN Prof Dr Noor Azuan Abu Osman dan Naib Presiden Kanan HeiTech Padu Wan Zailani Wan Ismail.

Noor Azuan dipetik sebagai berkata CoE bersama itu akan memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama dan memacu inovasi dalam domain tenaga.

“Bersama-sama, kami berhasrat mencapai kemajuan penting dalam bidang keselamatan siber dan memperkasakan pelajar kami dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam industri yang berkembang pesat ini,” katanya.

Wan Zailani berkata melalui kerjasama itu, HeiTech menyasarkan untuk menyumbang dari segi melahirkan bakat sedia ada dalam bidang keselamatan siber yang boleh dimanfaatkan oleh pasaran sebaik sahaja tamat pengajian pelajar.

“Kami percaya kerjasama ini akan memberi peluang berharga untuk perkongsian pengetahuan, latihan industri dan latihan amali, sekali gus memperkasakan generasi profesional keselamatan siber yang akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here