KUALA LUMPUR, 12 Jun – Kerajaan sedang menambah baik Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan)1966 (Akta 118) bagi memastikan pelikuidasi yang dilantik memainkan peranan sebagai pemaju perumahan untuk menyelesaikan isu pemulihan projek demi menjaga kepentingan pembeli teraniaya.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata bagi situasi pelikuidasi yang enggan menyelesaikan projek terbengkalai, tiada tindakan yang boleh diambil di bawah Akta 118 kerana mereka mempunyai hak serta kuasa untuk menguruskan hal ehwal sesebuah pemajuan daripada mahkamah.

Katanya, pelikuidasi juga boleh mengenakan caj perkhidmatan berdasarkan “Companies Winding-up Rules 1972” bagi perkhidmatan yang diberikan dan kadar caj itu tertakluk kepada kerumitan peranan mereka dalam mengurus hal ehwal projek perumahan berkenaan.

“Kementerian akur terdapat pertikaian oleh pembeli berkaitan kadar fi ini. Oleh itu, KPKT sedang mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi dan badan yang bertanggungjawab seperti Jabatan Insolvensi Malaysia; Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia.

“Ia bagi tujuan mendapatkan pandangan dan mekanisme terbaik dalam penyelesaian projek perumahan swasta terbengkalai yang berkaitan pelikuidasi termasuk kadar caj bayaran dan fi pelikuidasi yang seragam,” katanya.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan terhadap pelikuidasi swasta yang enggan meneruskan projek perumahaan terbengkalai dan pelikuidasi swasta mengenakan caj fi melebihi kadar nilai harga pasaran untuk menandatangani borang pemindahan.

Akmal Nasrullah memaklumkan Seksyen 7A (5) Akta 118 menyatakan wang dalam Akaun Pemaju Perumahan (HDA) bukan hak syarikat pemaju tergulung dan wang dalam akaun itu ialah hak pegawai penerima dan pemegang amanah dalam kebankrapan atau pelikuidasi.

Mengulas lanjut, beliau berkata wang dalam akaun itu digunakan oleh pelikuidasi untuk menguruskan obligasi pemaju terhadap pemajuan perumahan yang dibina oleh pemaju berkenaan dan bakinya digunakan mengikut undang-undang berhubung kebankrapan dan penggulungan syarikat.

“Wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun HDA hanya dapat dikeluarkan oleh pelikuidasi apabila pemajuan yang dipulihkan itu siap dan menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC),” katanya.

Akmal Nasrullah berkata sehingga 30 April lepas, sebanyak 112 projek perumahan swasta telah diisytiharkan terbengkalai dan 50 projek daripada jumlah itu telah diambil alih oleh pelikuidasi; satu projek di bawah Pegawai Penerima dan Pengurus, manakala selebihnya masih di bawah pemaju yang asal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here