KUALA LUMPUR, 14 Jun – Rang Undang-Undang (RUU) Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2023 yang dijadualkan untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat hari ini ditarik balik.

Usul menarik balik RUU itu dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

RUU tersebut dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin, 12 Jun.

RUU tersebut bertujuan meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671), termasuk cadangan untuk membolehkan penubuhan subsidiari pengawalseliaan bagi menjalankan kewajipan di bawah Akta 671 tersebut.

Pindaan Seksyen 21 itu juga membolehkan subsidiari pengawalseliaan kuasa mengambil tindakan tanpa menghalang subsidiari lain selain juga bertujuan untuk memberi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kuasa untuk mengubah, menambah kepada atau membatalkan apa-apa perkiraan yang dibuat.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memasukkan Seksyen baharu 21A yang memberi kuasa kepada SC untuk mengarahkan suatu syarikat pemegangan di Bursa Malaysia dalam menubuhkan subsidiari pengawalseliaan, jika diperlukan.

Pindaan lain termasuk meminda Seksyen 26 untuk memperluas kuasa SC bagi mengeluarkan arahan kepada subsidiari pengawalseliaan dan Seksyen 376 dalam memperluas skop indemniti kepada subsidiari pengawalseliaan dan mana-mana orang yang bertindak bagi pihaknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here