KUALA LUMPUR, 15 Jun — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersedia untuk melakukan pembenihan awan bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan penanaman padi sekiranya fenomena El-Nino berpanjangan.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Perdana Menteri. 

“Sekiranya keperluan mendesak, kementerian bersedia untuk melakukan pembenihan awan kalau sampai kering (tidak hujan) begitu lama… ini ikhtiar yang akan kita lakukan jika El-Nino ini berpanjangan.

“Selain itu, kementerian menerusi agensi-agensi di bawahnya telah mengambil inisiatif awal seperti pam backwards dan pam mudah alih berkuasa tujuh hingga 30 hp (kuasa kuda), membina telaga tiub dan baiki rumah pam bagi membekalkan bekalan air dari segi pengairan utama yang berada di tahap minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai langkah-langkah yang telah dan sedang dirancang kerajaan bagi menampan impak fenomena El-Nino terhadap bekalan makanan negara, khususnya penanaman padi.

Mohamad Sabu berkata usaha seperti memperbanyak parit jejari dan mendalamkan saliran sawah turut dilaksanakan bagi membantu meningkatkan bekalan sumber air.

Menjawab soalan tambahan Nurul Amin sama ada kementerian berhasrat untuk mewujudkan dana atau tabung khas bagi membantu pesawah dan petani yang terjejas akibat El-Nino, Mohamad Sabu berkata pihaknya akan membawa cadangan itu untuk dibincangkan di peringkat kementerian.

“Kalau ia perlu kita akan bincang dengan Kementerian Ekonomi, Kewangan dan lain-lain (kementerian) supaya ada peruntukan jika fenomena El-Nino ini berlaku secara serius,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata tompok hitam yang terdapat pada durian termasuk jenis Musang King, mengakibatkan pengimport menghentikan sementara pengimportannya.

“… kita tidak tahu puncanya kerana belum dibuat kajian khas… durian Musang King (sekarang) agak murah, orang ramai boleh makan kerana keluar banyak (dalam pasaran) tetapi ada sedikit (yang bertompok) yang dikatakan kalau kita makan pun tidak merbahaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here