KUALA LUMPUR, 15 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan di bangunan Parlimen di sini.

Kunjungan hormat itu adalah sempena lawatan rasmi Sheikh Abdullah ke Malaysia selama dua hari bermula semalam.

Ketibaan Sheikh Abdullah dan delegasi UAE di Bangunan Persidangan Sementara Parlimen pada 2.40 petang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pertemuan selama hampir sejam antara dua pemimpin itu tertumpu kepada perbincangan mengenai pelbagai isu terutama dalam meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-UAE serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.

Lawatan rasmi itu susulan daripada lawatan khas Putera Mahkota Abu Dhabi dan Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan ke Malaysia pada bulan lepas.

UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan destinasi import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada tahun 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 73.5 peratus dari RM22.33 bilion kepada RM38.73 bilion berbanding tahun sebelumnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here