KUALA LUMPUR, 15 Jun — Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa wujud elemen naungan politik kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PRDM)  serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.

“Untuk mengatakan Malaysia ini bebas naungan politik judi dalam talian, orang akan ketawakannya…jadi ya, memang wujud elemen naungan politik kepada pemain ini (judi dalam talian).

“Dari situ wujudnya pengaruh dan perlindungan, dari situ juga datangnya rasuah dan sogokan, …tipis kehendak politik untuk mengadakan dan memperbaharui tekad untuk memerangi perkara ini habis-habisan, jadi pusingannya adalah pemain dinaungi dan dia membalas tuan politik yang melindunginya agar tindakan tidak diambil.

“… polis faham sungguh-sungguh dengan pola ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ramanan Ramakrishnan (PH-Sungai Buloh) sama ada wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk membanteras jenayah itu.

Saifuddin Nasution berkata hal itu memerlukan perhatian berat dan KDN akan menyemak sama ada terdapat kelulusan lesen-lesen (perjudian) baharu dan wujud atau tidak naungan ini membabitkan orang politik tertentu.

Pada masa yang sama, beliau berkata KDN juga sedang meneliti dan akan mempercepatkan proses untuk meminda Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953.

Beliau berkata terdapat usaha meminda akta itu pada 2019 namun prosesnya agak perlahan, justeru KDN akan berbincang dengan Perdana Menteri agar pindaan dapat dibuat segera.

“Tahun 1953 ketika itu judi hanya laga ayam, kini dah 2023, judi secara dalam talian. Akta yang kita guna masih sama…kalau polis ambil tindakan dan mereka (penjudi) cabar di mahkamah…judi dalam talian tak termasuk dalam kedua-dua akta ini, mereka akan menang,” katanya.

Menurutnya, antara usaha lain membanteras kegiatan itu termasuk menyekat laman web judi yang menyaksikan sebanyak 2,119 laman web judi telah disekat bagi tempoh 2021 hingga Mei lepas.

“Dalam aplikasi Telegram juga banyak judi dalam talian, kalau kerajaan sekat aplikasi ini kita dikatakan tidak mesra perniagaan dan ini menjadi ancaman baharu.

“Saya beri jaminan tekad politik baharu kerajaan ini ialah pindaan kepada akta lama ini dibuat segera dan memperkasakan keupayaan PDRM dalam membanteras masalah ini,” katanya menjawab soalan asal Ramanan mengenai langkah KDN menangani kegiatan judi dalam talian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here