ALOR SETAR, 17 Jun – Kempen ‘kalih bagi sama’ oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak menyalahi amalan demokrasi di negara ini, kata Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata kempen tersebut adalah satu bentuk tawaran kepada rakyat negeri ini untuk memilih calon-calon daripada BN dan PH pada PRN nanti, agar kerajaan negeri Perpaduan dapat dibentuk selari dengan peringkat Pusat.

“Jadi saya fikir kita guna perkataan ‘kalih bagi sama’ itu hak masing-masing punya parti nak buat kempen untuk pilihan raya.

“Jadi kita tawarkan kepada rakyat Kedah ini kalih bagi sama bermakna anda undi sama seperti undi kerajaan PH dan BN di peringkat Persekutuan jadi sama di Kedah, dalam amalan demokrasi pada saya itu tak salah,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini, yang dilaporkan berkata kempen tersebut sebagai ‘kempen politik songsang’ kerana tidak menggambarkan demokrasi selain tidak selari dengan Perlembagaan negara.

Mahdzir berkata kempen tersebut sebenarnya selari dengan amalan demokrasi negara ini yang memberikan rakyat pilihan untuk menentukan masa depan negeri mereka.

Mengenai penyediaan manifesto, Mahdzir berkata ia masih di peringkat awal bagi menentukan inti pati yang akan ditawarkan kepada rakyat Kedah yang menyentuh keperluan wanita dan belia selain pembangunan ekonomi serta pendidikan.

“Tapi perincian berkaitan dengan perkara-perkara itu belum lagi (diputuskan), kerana malam ini (malam tadi) lebih kita melibatkan (perbincangan) dalam kalangan ahli politik, rakan-rakan daripada ahli akademik dan orang berniaga yang datang bagi pandangan, jadi kita dapatlah lebih kurang gambarannya.

“Kita perincikan kemudian, saya ingat bagi masa sekejap, lepas itu saya akan bawa kepada BN negeri dan UMNO negeri lepas itu kita duduk (bincang) dengan PH dan kalau kedua-dua pihak pun boleh terima apa yang nak tawar kepada rakyat, dan kita akan bentang kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata pembahagian 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah antara BN dan PH sudah hampir selesai iaitu hanya dua kerusi sahaja belum diputuskan dan akan ditentukan oleh pucuk pimpinan BN dan PH pusat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here