GEORGE TOWN, 23 Jun – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang melaksanakan empat projek bekalan air untuk penyelesaian segera dalam menangani isu bekalan air di Seberang Perai Selatan (SPS) yang akan memanfaatkan lebih 14,000 pengguna kawasan itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata semua projek bernilai RM24.6 juta itu dijangka siap secara berperingkat bermula bulan ini hingga Januari depan.

“Kerajaan negeri telah mengarahkan PBAPP menyelesaikan semua isu bekalan air di SPS secepat mungkin dan sebagai maklum balas kepada isu tersebut, PBAPP telah membentangkan dua isu inisiatif utama.

“Isu pertama menerusi Pelan Tindakan SPS 2023 melibatkan empat projek dengan kos keseluruhan RM24.6 juta. Ia bagi menyediakan penyelesaian di beberapa kawasan sasaran daerah itu iaitu tangki sedutan baharu di Rumah Pam Taman Widuri dan Taman Wellesley yang dijangka siap pada Oktober nanti.

“Tiga projek lagi ialah loji Dissolved Air Floatation (DAF) 10 juta liter sehari (JLH) baharu di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor yang akan siap Ogos nanti, LRA 2.4 JLH di Sungai Kerian dan dua LRA mudah alih 0.25 JLH di Taman Sungai Duri Indah,” katanya.

Chow berkata inisiatif kedua ialah pembinaan LRA Sungai Kerian fasa satu bernilai RM171 juta di SPS yang dijangka siap menjelang 2027 dan akan memanfaatkan lebih 55,000 pengguna di kawasan tersebut.

Beliau berkata pembinaan LRA Sungai Kerian fasa satu itu bertujuan menangani permintaan air yang tinggi secara khususnya di SPS hingga 2030.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri juga sedang berusaha mendapatkan persetujuan Perak bagi melaksanakan Projek Air Perak-Pulau Pinang yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS).

“Tindakan susulan akan diambil termasuk mengadakan perbincangan bagi meneruskan rundingan antara dua negeri dan seterusnya menyelesaikan isu pembekalan air jangka masa panjang demi kepentingan rakyat kedua-dua negeri secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata rundingan itu akan diteruskan walaupun ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana ia boleh dijalankan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan disusuli perbincangan seterusnya oleh pihak kerajaan kedua-dua negeri selepas PRN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here