TUMPAT, 26 Jun – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk membina semula sebahagian laluan Lebuhraya Timur Barat di Jeli-Gerik, Perak yang dijangka bermula tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya sebelum ini berdepan kekangan kos sebanyak RM80 juta hingga RM100 juta untuk melaksanakan pembinaan semula laluan itu.

“Bagi pembinaan semula di sepanjang laluan berkenaan memerlukan RM80 juta hingga RM100 juta. Namun disebabkan kita hanya mendapat peruntukan RM30 juta, kita akan melaksanakan di sebahagian laluan berkenaan.

“Perincian projek sama ada membabitkan jumlah kilometer dan bermula dari mana sama ada dari Jeli atau Gerik, ia belum dibincangkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, penggantian struktur laluan Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak-Jeli, Kelantan bernilai RM80 juta antara perkara yang dibincangkan delegasi kerajaan Perak bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata masalah itu perlu tindakan segera kerana keadaan laluan terbabit meresahkan rakyat terutama yang menggunakan jalan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here