SARIKEI, 26 Jun – Sebanyak 94,781 akaun Endowment Fund Sarawak (EFS) telah dibuka sejak pelaksanaannya pada 1 Jan 2019 hingga 31 Mei lepas, melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM94 juta. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata EFS adalah pemberian sebanyak RM1,000 dalam bentuk simpanan amanah kepada setiap kanak-kanak yang dilahirkan di negeri itu bermula 2019.

Katanya bagi program Bantuan Ibu Bersalin (BIB) yang dilancarkan pada 1 Jan 2020, seramai 48,278 ibu telah mendapat bantuan RM450 seorang secara sekali bayar melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM21 juta, setakat Mei lepas.

Selain itu, Fatimah berkata kementerian sedang mempertimbangkan penghargaan untuk guru wanita yang melindungi kanak-kanak tabika daripada seorang lelaki mengamuk di Tanjung Manis dekat sini, 13 Jun lepas.

Beliau berkata guru Tabika Kemas Kampung Rajang itu mengambil tindakan yang berani kerana sanggup menggadaikan nyawanya sendiri demi melindungi kanak-kanak di tabika itu daripada ancaman luar yang tidak diduga.

“Kita akan berusaha untuk memberikan penghargaan yang sewajarnya kepada guru ini di atas pengorbanannya,” katanya.

Dalam kejadian sekitar 8.20 pagi itu, seorang remaja lelaki berumur 17 tahun menaiki pagar dan bertindak memecahkan harta benda di kawasan tabika tersebut, sebelum berjaya memasuki kelas dengan memecahkan pintu belakang.

Guru itu mengalami kecederaan pada tangan, kaki dan belakang akibat bergelut dengan remaja itu dalam usaha membawanya keluar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here