KUALA TERENGGANU, 1 Julai — Kesihatan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang merosot dan kini sedang dirawat di hospital.

Perkara itu dimaklumkan anak beliau Muhammad Khalil Abdul Hadi, menerusi hantaran di laman Facebooknya pagi ini.

“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru. Kesihatan ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini  menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” katanya.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata Abdul Hadi sememangnya dalam keadaan uzur, sewaktu hadir ke pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PAS Terengganu di Marang pada 27 Jun lalu.

Beliau berkata walau bagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu, tetap menggagahkan dirinya untuk hadir.

“Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan lokasi hospital Abdul Hadi dirawat, namun beliau sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Muhammad Khalil ketika dihubungi Bernama mengesahkan Abdul Hadi menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Terengganu dan berada dalam keadaan stabil.

“Stabil, perlu rehat secukupnya,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here