KUALA LUMPUR, 5 Julai – Khalid Assari yang merupakan ahli komuniti perniagaan yang disegani di Maghribi dilantik sebagai Konsul Kehormat Malaysia di Casablanca.

Kedutaan Malaysia di Maghribi memaklumkan bahawa Assari mempunyai pengetahuan luas tentang rantau ini, dan kepakarannya tidak ternilai dalam memberi bantuan dan sokongan kepada syarikat Malaysia yang berminat untuk menjalankan perniagaan di Casablanca dan kawasan lain di Maghribi.

“Atas kapasitinya sebagai Konsul Kehormat, Assari juga akan menyediakan khidmat penerangan kepada warga Maghribi mengenai Malaysia.

“Beliau antara lain, akan berusaha mempromosikan hubungan budaya dan ekonomi antara Malaysia dan Maghribi, membina hubungan sejarah dan budaya yang kukuh antara kedua-dua negara,” menurut kedutaan itu dalam satu kenyataan yang disediakan kepada Bernama.

Konsulat Kehormat Malaysia di Casablanca merupakan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Maghribi, sambil menambah bahawa ia akan menyediakan persekitaran penting antara kedua-dua negara, mempromosikan perdagangan, pelaburan dan pertukaran budaya, menurut kedutaan.

“Malaysia amat berminat untuk bergerak maju ke hadapan dalam kerjasama ekonomi dengan Maghribi kerana terdapat potensi besar bagi kedua-dua pihak untuk mendapat manfaat bersama daripada peluang perdagangan dan pelaburan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia dan Maghribi mula menjalin hubungan diplomatik pada 1963, manakala Kedutaan Malaysia di ibu negara Rabat ditubuhkan pada 1966.

Kedua-dua negara mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dan telah memuktamadkan beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman, meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.

Perdagangan antara Malaysia dan Maghribi telah berkembang dengan mantap sejak beberapa tahun kebelakangan ini, meskipun terdapat ruang untuk diperbaiki.

Eksport utama Malaysia ke Maghribi termasuk peralatan elektrik dan elektronik, produk getah dan minyak sawit.

Sementara itu, eksport utama Maghribi ke Malaysia termasuk fosfat, baja dan tekstil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here