KOTA KINABALU, 5 Julai – Kementerian Sumber Manusia komited untuk membentuk dasar dan mempelopori inisiatif yang membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran kerja insaniah, teknikal dan masa depan, kata menteri berkenaan V Sivakumar.

Beliau berkata kementerian juga akan memberikan dorongan kepada peserta industri menawarkan pekerja masing-masing peluang untuk mempertingkat kemahiran dan latihan semula yang lebih luas.

Sivakumar berkata pembangunan tenaga kerja yang dinamik, berpengetahuan luas dan mempunyai kemahiran tinggi adalah aspek penting untuk terus menambah baik persekitaran perniagaan, lebih baik daripada negara-negara serantau dan menarik minat peserta global.

“Negara ini berada pada unjuran pertumbuhan yang teguh, dan kita perlu membina momentum ini. Pada tahun lepas, kita mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 8.7 peratus.

“(Pencapaian) ini adalah pertumbuhan tahunan tertinggi kita dalam masa 22 tahun, membuktikan Malaysia pada laluan yang kukuh untuk pulih,” katanya pada Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 – Wilayah Borneo di sini hari ini.

Beliau merasmikan acara dua hari itu bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Acara itu yang dianjurkan oleh Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah menerima lebih 1,000 peserta dan membawakan hampir 100 pempamer serta penceramah tempatan dan antarabangsa, termasuk tokoh-tokoh terkemuka dari Sabah dan Sarawak.

Menurut Sivakumar, Malaysia telah membuktikan komitmen pelaburan yang signifikan daripada gergasi global seperti Tesla, AMD Global Services dan Amazon Web Services, yang akan melahirkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia, menggalakkan kemajuan infrastruktur teknologi negara dan meningkatkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

“Bagaimanapun, ini bukan masanya untuk kekal berpuas hati. Apabila persaingan global semakin sengit, negara-negara ini saling bersaing untuk pelaburan asing yang terhad.

“Malah, negara-negara serantau kita seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina telah memulakan usaha intensif dan proaktif untuk menarik lebih banyak syarikat multinasional ke negara masing-masing,” katanya.

Berkenaan NHCCE 2023 – Wilayah Borneo, Sivakumar berkata beliau percaya persidangan itu sebagai platform yang baik untuk penumpuan idea, perbincangan dan strategi untuk memacu usaha modal insan Malaysia bagi jangka sederhana dan panjang, dan pada masa sama mengetengahkan perbincangan dari segi cabaran, peluang dan langkah masa depan peserta industri di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya yang dibacakan oleh Jeffrey berkata, kerajaan Sabah menyokong sepenuhnya sebarang usaha untuk mendorong aktiviti ekonomi dan merangsang pembangunan modal insan untuk mengekalkan dan meningkatkan pelaburan jangka panjang ke negeri itu.

Beliau berkata ekonomi Sabah kekal berdaya tahan, seperti yang dibuktikan dari 2020 hingga 2022, apabila meraih pelaburan bernilai RM11.5 bilion dengan 89 projek yang mencipta lebih 4,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Daripada RM11.5 bilion itu, sebanyak RM9.2 bilion adalah daripada pelaburan langsung asing dan RM2.3 bilion lagi pelaburan domestik. Ini mewakili 72.9 peratus daripada pelaburan itu atau RM8.4 bilion bagi sektor pembuatan, sektor utama merangkumi pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan (RM1.6 bilion) dan sektor perkhidmatan (RM1.5 bilion).

“Selain itu, saya juga gembira untuk berkongsi bahawa Projek Keluli Hijau Bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata Borneo Malaysia juga akan memiliki infrastruktur yang baik tidak lama lagi, sekali gus akan meluaskan aktiviti ekonomi kepada lokasi yang tidak dapat diakses sebelum ini di kedua-dua negeri dengan penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo serta pembinaan Fasa Dua dan Fasa Tiga projek Sarawak-Sabah Link Road. 

“Walaupun pelaburan sedemikian meletakkan Sabah dan Sarawak pada kedudukan yang baik, kita memerlukan tenaga kerja dan kumpulan bakat yang teguh, dinamik dan aktif untuk mengekalkan dan meningkatkan pelaburan jangka panjang.

“Selain itu, modal insan yang kukuh adalah penting untuk memastikan kita akan terus mencipta dan mengekalkan infrastruktur yang dibangunkan dengan baik dan mendahului persaingan yang semakin bertambah di Asia Tenggara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here