GEORGE TOWN, 5 Julai – Tempoh yang ada sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri mencukupi untuk semua parti melakukan persediaan dan kerja-kerja yang berkaitan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata dalam tempoh itu, segala urusan berhubung penamaan calon dan lain-lain yang berkaitan akan dapat diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

“Sementara itu, bagi tempoh 14 hari untuk kempen sebelum hari mengundi, walaupun menyerupai tempoh yang diberikan sebelum ini, ia adalah mencukupi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai, pengundian awal pada 8 Ogos dan pengundian pada 12 Ogos.

DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi secara rasmi dibubarkan pada 28 Jun lepas bagi memberi laluan untuk PRN diadakan.

Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) memenangi 37 daripada keseluruhan 40 kerusi, termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersama PH, manakala Barisan Nasional (BN) memenangi dua kerusi dan PAS (satu).

Pada Februari 2020, Bersatu mengumumkan keluar daripada PH dan menyertai Perikatan Nasional (PN) menyebabkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Pulau Pinang iaitu ADUN Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang Zolkifli Md Lazim, menarik balik sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH.

Sementara itu, pergolakan dalam PKR turut menyaksikan dua ADUN daripada parti itu dipecat iaitu ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dan ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim yang kemudian kedua-duanya menyertai Bersatu.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN Pulau Pinang dibubarkan ialah 33 kerusi dimiliki PH, BN (dua), Bersatu (empat) dan PAS satu kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here