BESTARI JAYA, 6 Julai – Guru sekolah yang dilantik sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, sudah bersedia melaksanakan tanggungjawab berkenaan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata segala perkara berkaitan termasuk jumlah guru yang bakal bertugas dan sekolah yang akan digunakan pada PRN itu, sudah diselesaikan pihak Kementerian Pendidikan (KPM).

“Apa yang penting kita memang sudah membuat persiapan dan pengumuman lanjut akan dibuat secara berperingkat,” katanya.

PRN yang melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Sementara itu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata proses pemilihan calon wanita PKR untuk diketengahkan pada PRN, telah selesai namun belum dimuktamadkan.

“Kita sedang memuktamadkan calon wanita kita (PKR) dalam mesyuarat khas. Kita perjuangkan untuk kuota 30 peratus, dapat lebih kita bertanding lebih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM belum membuat sebarang keputusan konklusif bagi mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Mengenai program hari ini pula, beliau menzahirkan kesyukuran atas usaha Unisel mewujudkan perpustakaan peringatan atas nama Allahyarham bapanya yang akan menempatkan kira-kira 10,000 buku dan bahan ilmiah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here