KUALA LUMPUR, 8 Julai — Pemilihan Parti Gerakan bagi penggal 2023-2026, yang akan berlangsung pada 15 Julai ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru masing-masing bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, yang mempertahan jawatan beliau, akan dicabar Naib Presiden Datuk Seri Michael Gan Peng Lam serta bekas Setiausaha Agung Datuk Liang Teck Meng dan Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Datuk Lau Hoi Keong. 

Perkara itu diumumkan oleh Naib Presiden merangkap Pegawai Jawatankuasa Penyelia Pemilihan Nasional Soo Kay Ping pada sidang media di Menara PGRM di sini hari ini.

Timbalan Presiden Oh Tong Keong, yang turut mempertahan jawatan beliau pada pemilihan kali ini, akan dicabar oleh Setiausaha Agung Mak Kah Keong, Timbalan Speaker V. Prabagaran dan Ketua Biro Pendidikan Dr Kiew Hen Chong.

Bagi Naib Presiden, Datuk Baljit Singh dan Koo Shiaw Lee yang mempertahan jawatan itu akan ditentang oleh Pengerusi Gerakan Sabah Datuk Alexander Lo Su Hyen serta Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Lee Ban Fatt. 

Soo berkata bagi mengisi 18 jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat pula, sebanyak 40 pencalonan diterima. 

Beliau juga berkata Chung Mon Sie dan Wong Chia Zhen, masing-masing menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here