BANTING, 9 Julai — Kementerian Komunikasi dan Digital akan memfokus kepada tahap capaian liputan Internet di jalan raya yang menghubungkan kawasan berpenduduk dan bukan hanya kepada kawasan berpenduduk. 

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan meneliti perkara itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memandangkan capaian Internet merupakan kemudahan asas yang perlu dinikmati oleh semua rakyat sama seperti jalan, sumber elektrik serta air. 

Fahmi berkata isu keperluan Internet di jalan raya dikenal pasti susulan lawatan kerja beliau ke Negeri Sembilan baru-baru ini. 

“Di Rembau dan Felda Palong 11, (capaian) Internetnya cantik tapi di sepanjang perjalanan ke sana tiada Internet, jadi saya lihat ada keperluan untuk kementerian dan MCMC meneliti beberapa perkara (berkenaan liputan Internet di jalan raya),” katanya ketika berucap pada program Kita MADANI Peringkat Negeri Selangor di Kampung Bukit Changgang di sini hari ini. 

Beliau juga berkata jumlah kadar penembusan jalur lebar tetap di Selangor pada suku pertama tahun ini mencecah 61.6 peratus manakala bagi jalur lebar mudah alih sebanyak 126.1 peratus. 

“Ini menunjukkan perkembangan positif dan kerajaan sentiasa komited memastikan capaian Internet di Selangor berada pada tahap terbaik,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here