BUKIT MERTAJAM, 17 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) yakin dapat menyelesaikan semua projek naik taraf membabitkan 436 klinik daif di seluruh negara penghujung tahun ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata projek naik taraf  yang melibatkan jumlah peruntukan RM100 juta, telah bermula dan sudah ada beberapa projek yang telah disiapkan.

“Untuk tahun ini, 436 klinik ini telah dikenal pasti untuk dinaik taraf dan KKM akan memastikan kesemua projek ini disiapkan dalam tahun ini seterusnya memberikan keyakinan kepada Perdana Menteri untuk meluluskan peruntukan untuk tujuan yang sama pada tahun hadapan. 

Kalau ada penjimatan daripada projek-projek yang telah dikenal pasti ini, pihak KKM akan menambah beberapa lagi klinik daif untuk dinaik taraf,” katanya.

Beliau berkata pembangunan kemudahan dan infrastruktur kesihatan merupakan agenda yang perlu diberi perhatian kerana keperluan dan kehendak masyarakat terutamanya permintaan kepada akses kesihatan yang lebih baik sentiasa meningkat setiap masa. 

Dalam hal ini, beliau berkata KKM komited melaksanakan amanah bagi menyediakan kemudahan dan infrastruktur fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Di Pulau Pinang, selain daripada projek Klinik Kesihatan Bandar Perda yang berada di dalam Daerah Seberang Perai Tengah ini, KKM dan Jabatan Kerja Raya sedang giat menyiapkan dua lagi klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Air Putih di dalam Daerah Barat Daya dan Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara di dalam Daerah Seberang Perai Selatan yang masing-masing menelan belanja sebanyak RM30 juta. 

Selain itu, kerajaan melalui pengumuman Belanjawan 2023 juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM54 juta bagi membina Klinik Kesihatan dan Kuarters Integrasi Mak Mandin di dalam Daerah Seberang Perai Utara,” katanya.

Katanya usaha ini akan dapat mempertingkatkan perkhidmatan di peringkat penjagaan kesihatan asas dan seterusnya membantu mengurangkan kesesakan di hospital-hospital kerana rawatan awal dan ringan dapat dibuat di klinik-klinik kesihatan terlebih dahulu. 

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan untuk Klinik Kesihatan Bandar Perda sebanyak RM150,000 bagi kerja-kerja naik taraf dan pembaikan serta pembelian perlatan perubatan dan bukan perubatan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here