ROM, 19 Julai – Gelombang haba luar biasa yang melanda Itali dan sebahagian besar Eropah menghampiri kemuncaknya pada Selasa apabila suhu dijangka mencecah paras tertinggi baharu di kebanyakan bandar besar di Itali, lapor Agensi Anadolu.

Rom yang – digelar “ibu kota Infernal” oleh media asing – membuka berpuluh-puluh “pusat bantuan” khas di sekitar bandar bagi melindungi warga emas lemah, mereka yang tidak berdaya dan pelancong, memandangkan suhu dijangka mencecah ke paras tertinggi 42 darjah Celsius (°C).

Pulau Sicily dan Sardinia juga bersiap sedia untuk menghadapi suhu paling panas di Eropah, pada paras 48°C di beberapa kawasan di selatan seperti yang diramalkan oleh Agensi Angkasa Eropah .

Rekod Eropah sebelum ini dicatatkan di Sicily dua tahun lalu pada suhu 48.8°C, menurut data agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada Selasa, 20 daripada 27 bandar utama Itali diletakkan di bawah amaran merah.

Kementerian Kesihatan mencadangan beberapa siri peraturan untuk membantu mengurus kesan gelombang haba, termasuk menyediakan “kod haba” di bilik kecemasan hospital, bertujuan memberi keutamaan kepada mereka yang mengalami isu berkaitan haba.

Menurut data terkini yang diterbitkan oleh jurnal saintifik Nature, lebih 60,000 orang mati di Eropah akibat gelombang panas pada musim panas lalu, dengan jumlah yang sama dikhuatiri direkodkan tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here