SARIKEI, 21 Julai – Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni mencadangkan supaya pegawai perubatan kontrak dari luar Sarawak yang sedang berkhidmat di negeri itu diberikan keutamaan untuk diserapkan ke jawatan tetap.

Beliau berkata perkara itu amat wajar untuk menarik lebih ramai pegawai perubatan untuk berkhidmat di Sarawak selain sebagai penghargaan kepada yang sedang berkhidmat di wilayah tersebut.

“Mereka yang telah berkhidmat lebih dua hingga tiga tahun dan berstatus kontrak diberikan keutamaan pada siri lantikan daripada jawatan kontrak ke jawatan tetap. Ini akan memberikan mereka lebih semangat untuk kekal beberapa tahun lagi sebelum memohon untuk keluar. Itu tidak akan menjadi masalah,” katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa lawatannya ke Hospital Sarikei di sini hari ini, beliau berkata pada masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menguruskan rayuan pelantikan pegawai-pegawai perubatan.

“Tidak semua rayuan akan dapat kita layani tetapi kita akan lihat secara terperinci rayuan daripada mereka yang ingin kekal di fasiliti di mana mereka bekerja sekarang,” katanya.

Dalam ucapannya, sebelum itu, Lukanisman berkata ada dalam kalangan pengawai perubatan yang mendapat lantikan tetap meletak jawatan kerana enggan berkhidmat di Sarawak manakala yang ingin terus berkhidmat di wilayah itu hanya diletakkan sebagai ‘calon simpanan’.

Menurut beliau perkara tersebut turut berlaku di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah.

Lukanisman yang dalam rangka lawatannya ke 11 buah klinik kesihatan dan empat buah hospital di Bahagian Bintulu, Mukah, Sarikei dan Sibu sejak Isnin lalu dan berakhir esok, berkata antara perkara berbangkit yang dikenal pasti semasa lawatan itu ialah kekurangan pegawai perubatan.

“Bilangan keseluruhan pegawai perubatan yang ada di Sarawak kini adalah 2,742 orang, di mana 1,581 adalah pegawai lantikan tetap dan 1,161 pegawai lantikan kontrak,” katanya.

Beliau menambah sebanyak 1,180 kekosongan jawatan perlu diisi di samping kekurangan pengisian jawatan doktor pakar di hospital dan juga klinik kesihatan di negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here