KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa komited dalam usahanya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Menterinya Chang Lih Kang berkata ini kerana STI berupaya menambah baik kualiti kehidupan seharian dan usaha itu akan diterjemahkan menerusi slogan ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’.

Beliau berkata berdasarkan data Kementerian Pendidikan tahun lepas, peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dari tahun 2017 hingga 2022 mencatatkan penurunan daripada 45.20 peratus kepada 40.94 peratus.

“Hasil dapatan Kajian Kesedaran Awam Mengenai STI Malaysia 2022 yang dilakukan Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) MOSTI mendapati antara empat sebab utama enrolmen rendah dalam aliran sains adalah kerana minat pelajar lebih cenderung terhadap bidang bukan berteraskan sains.

“Selain itu sains adalah mata pelajaran sukar untuk difahami, sukar untuk dikuasai dan tidak berminat dengan bidang sains di sekolah,” katanya. 

Beliau berkata kajian sama turut menunjukkan penurunan minat dalam sains bagi kalangan pelajar kepada 40 peratus pada 2022 berbanding 66.7 peratus pada 2019.

“Oleh itu, 81.1 peratus responden kajian kesedaran memberi cadangan untuk menggabungkan aktiviti praktikal di dalam kelas sebagai salah satu cara terbaik untuk meningkatkan minat pelajar dalam sains, selain mewujudkan kesedaran tentang sains bermula di sekolah rendah serta memberi lebih banyak pendedahan berkaitan sains dan kehidupan seharian,” katanya.

Chang berkata bagi menyokong usaha pembudayaan dan mempromosikan STI di Malaysia secara holistik, satu rangkaian kerjasama berpusat melibatkan institusi pembelajaran sains bukan formal iaitu Rangkaian Kolaborasi Pusat Sains Malaysia (MySCENT) telah ditubuhkan.

Beliau berkata selaras dengan penubuhan MySCENT, pelbagai aktiviti pembudayaan STI yang lebih strategik, dinamik dan seiring dengan trend global semasa dapat dilaksanakan dengan lebih meluas dan berkesan.

“Diharap usaha memperkasakan pembelajaran sains bukan formal dengan kerjasama bersepadu daripada pelbagai rakan strategik dapat memberi manfaat dan impak yang besar dalam menarik kembali minat generasi terhadap bidang STEM,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here