KUALA LUMPUR, 22 Julai – Segmen Edisi Asia hasil kerjasama antara Bernama TV dan China Media Group (CMG) yang akan disiarkan menerusi program Malaysia Petang Ini (MPI) bermula Ogos, diharap dapat menarik lebih ramai penonton saluran berita 24 jam itu.

Timbalan Pengarah Perkhidmatan Melayu, Pusat Pengaturcaraan Bahasa, Asia dan Afrika China Media Group (CMG) Zhang Hong berkata komitmen baharu ini dilihat dapat meningkatkan kerjasama dengan Bernama TV selepas kekangan yang dilalui ketika pandemik COVID 19.

“Pertemuan kali ini mencapai hasil yang cukup cemerlang seperti dapat terus mengadakan pertukaran berita, selain membincangkan peluang dan hala tuju kerjasama dalam aspek pemberitaan dan pembikinan program,” katanya.

Menurut beliau pertemuan secara bersemuka itu sememangnya dapat membantu dalam mempercepatkan sebarang persetujuan dan kerjasama, lebih-lebih lagi CMG dan Bernama telah menjalinkan kerjasama sejak 2016.

Menurut Zhang Hong, Segmen Edisi Asia yang memaparkan kerjasama perdagangan dan ekonomi, pendidikan, kebudayaan, industri perlancongan serta hal ehwal semasa antara China dan Malaysia ini akan disiarkan selama 10 minit menerusi program MPI sehingga akhir tahun ini.

MPI merupakan sebuah program bual bicara bual membincangkan perkembangan terkini di dalam negara dan bersiaran selama 30 minit, pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 5 petang.

“Sekarang kita rancang segmen ini (Segmen Edisi Asia) untuk setahun dan jika ia menarik atau mendapat sambutan yang baik, kami boleh teruskan segmen ini untuk dua atau tiga tahun lagi,” katanya.

Segmen ini akan menampilkan rakan pengacara dari Beijing bersama tetamu dalam kalangan tokoh, ahli perniagaan, wartawan serta mahasiswa dan siswazah yang boleh bertutur dengan fasih dalam Bahasa Melayu.

Menurut beliau, kerjasama media ini turut memberi manfaat kepada kedua-dua pihak sebagai platform perkongsian kandungan program dan berita, bertindak sebagai medan pertukaran pendapat selain berperanan sebagai medium penjalin hubungan yang lebih mesra dan berkekalan antara China dan Malaysia.

Zhang Hong berkata program rentas negara, Ni Hao yang mendapat sambutan menggalakkan ketika disiarkan di Bernama Radio, empat tahun lalu akan dibincang untuk dikembalikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here