GEORGE TOWN, 23 Julai – Memiliki sebuah kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan adalah sesuatu yang amat penting dalam menyegerakan usaha bagi mencapai sasaran menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2028, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negeri lebih mudah untuk dipercepatkan sekiranya kerajaan negeri dan persekutuan adalah sehaluan.

Beliau memberi contoh Pulau Pinang, yang menurutnya lebih mudah untuk maju kerana ia sudah cukup matang, mempunyai infrastruktur serta rekod prestasi yang baik, di samping memiliki pemain industri dalam kalangan pihak swasta dengan rangkaian kerja global.

“Ia memerlukan kerjasama yang sangat erat antara negeri dan persekutuan, kerana tiada siapa boleh melakukannya sendiri… negeri tidak boleh melakukannya dengan sendiri, persekutuan juga tidak boleh melakukannya tanpa kerjasama negeri,” katanya.

Beliau berkata oleh itu ia tidak perlu dipertikaikan lagi, bahawa pentadbiran kerajaan negeri perlu sehaluan dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan negara.

Rafizi berkata perkara sebaliknya boleh dilihat di negeri Kedah, apabila kerajaan negeri dan persekutuan nampak tidak sehaluan.

“Kita mempunyai pandangan yang berbeza, kerajaan merasakan projek seperti lapangan terbang kargo tidak berdaya maju dari segi ekonomi.. mereka pula (kerajaan negeri Kedah) mahukan kelebihan dari segi sokongan politik, mereka tidak peduli pun sama ada ia (projek) berdaya maju atau tidak, mereka akan pergi berpolitik walaupun sesuatu seperti itu tidak bersifat politik pun,” katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata kementeriannya sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang dalam beberapa projek pengangkutan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Walaupun saya masih belum mendapat butiran mengenai semua projek pengangkutan dan infrastruktur, kita akan membincangkannya di pelbagai peringkat seperti Kementerian Pengangkutan dan juga agensi di bawah Kerajaan Pulau Pinang bagi memastikan projek itu berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata kesemua projek ini akan menjadi lonjakan kepada potensi ekonomi Pulau Pinang dalam menarik pelabur.

Terdahulu, Rafizi turut mengambil bahagian dalam sesi dialog dengan wakil negeri, pemain industri, badan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi untuk berkongsi pendapat mengenai cara untuk membentuk rancangan pembangunan yang lebih baik di masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here