KULAI, 24 Julai — Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dekat sini pada kira-kira 2.30 pagi.

Jenazah beliau diiringi isterinya Datin Seri Fatimah Taha serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat antara individu yang dilihat menyambut ketibaan jenazah Allahyarham. 

Van membawa jenazah Salahuddin kemudian diiringi oleh beberapa kenderaan Polis Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk ke kediaman ibunya Aminah Abdullah, 83, di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai di Pontian.

Selepas itu, Allahyarham yang merupakan anak jati Tanjung Piai, akan dibawa ke kediaman beliau di Jalan Adil sebelum ke Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di Serkat.

Suasana hiba dapat dirasai dengan kehadiran ahli keluarga dan sahabat handai yang mula berkumpul di rumah ibu Allahyarham sejak 12 tengah malam tadi.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here