PUTRAJAYA, 27 Julai – Kerajaan Filipina dan Malaysia komited untuk mengkoordinasi dengan rapi usaha-usaha membina kapasiti dalam Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao,  selatan Filipina, terutamanya dalam industri halal, perbankan Islam dan keterjaminan makanan. 

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berkata Malaysia telah menawarkan kepakarannya untuk melatih pegawai dan personel Filipina untuk mengukuhkan keupayaan di dalam sektor berkenaan yang semakin penting.

“Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Yang di-Pertuan Agong  (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) di atas segala bantuan yang kami terima dari Malaysia di selatan Filipina.  

Ia merupakan sebahagian penting daripada kejayaan yang kami nikmati hari ini dan ia mengukuhkan kedudukan untuk kami gunakan bagi meneruskan membina dan mempromosi hubungan kami antara dua negara, “ katanya.  

Presiden Marcos berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas satu pertemuan dua hala di sini hari ini. 

Terdahulu, Marcos mengadakan perbincangan dengan Anwar bersempena lawatan negara tiga hari beliau ke Malaysia untuk menyemarakkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. 

Marcos juga diberikan sambutan negara di Istana Negara pagi tadi.

Dari 2001 sehingga 2012, Malaysia bertindak sebagai pengantara dalam rundingan antara Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Rundingan itu akhirnya menghasilkan penubuhan Wilayah Autonomi Bangsamoro pada 2019.

Anwar semasa lawatan rasminya ke Filipina pada Mac tahun ini, berikrar akan meneruskan usaha membantu memudah cara proses perdamaian di Pulau Mindanao yang majoriti  penduduknya ialah orang Islam. 

Perdana Menteri dilaporkan berkata Malaysia akan terus membantu penduduk-penduduk dalam wilayah autonomi Bangsamoro itu menerusi pelbagai projek pembinaan kapasiti.

Ia termasuk Program Kerjasama Teknikal Malaysia yang membolehkan Malaysia berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam pembangunan dengan negara membangun seperti Filipina,

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here