PUTRAJAYA, 29 Julai – Jumlah kes COVID-19 berkurangan 20 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-29 (ME 29/2023) iaitu bagi tempoh 16 hingga 22 Julai kepada 958 kes berbanding 1,202 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk pesakit yang disyaki ke fasiliti kesihatan awam menunjukkan penurunan kepada 2.1 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 29/2023 daripada 2.2 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME sebelumnya iaitu bagi tempoh 9 hingga 15 Julai.

Peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) meningkat sebanyak satu peratus pada ME 29/2023 berbanding minggu sebelumnya diikuti peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 yang juga meningkat satu peratus pada tempoh sama.

Menurut KKM, sebanyak 61 varian Omicron baharu dilaporkan terdiri daripada 51 kes varian membimbangkan (VOC) dan 10 kes varian yang mendapat perhatian (VOI) dilaporkan pada ME 29/2023.

“Sehingga kini, jumlah kumulatif bagi kes XBB.1.16 (Arcturus) dan sublineages adalah sebanyak 342 kes dengan 341 kes tempatan dan satu kes import,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.

Menurut KKM, pecahan kes merangkumi 100 kes di Sarawak, 59 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 58 kes masing-masing di Melaka dan Selangor; Pulau Pinang (20), Johor (13), enam kes masing-masing di Terengganu, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, empat kes masing-masing di Kedah, Perak dan Perlis, Sabah (tiga) dan Pahang (satu).

Sehingga 15 Julai, KKM memaklumkan hasil aktiviti pemantauan gejala demam selesema (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 32 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif empat peratus manakala tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19.

Berdasarkan data sehingga 24 Julai, sebanyak 50 peratus atau 16,331,678 penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan tiga peratus atau 825,059 penduduk menerima dos penggalak kedua.

Sementara itu, KKM menyatakan jumlah kes kumulatif penyakit berkaitan cuaca panas dari ME 16/2023 iaitu dari 4 hingga 10 Jun hingga ME 29/2023 adalah sebanyak 59 kes. 

“Dari jumlah ini, pecahan kes mengikut diagnosis adalah 33 kes kelesuan haba, 20 kes kejang haba, dan enam kes strok haba,” menurut kenyataan itu.

KKM menjelaskan, bilangan keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah masing-masing 15 kes di Sabah dan Sarawak, 10 kes di Kelantan, Melaka (enam), Pahang (empat), Terengganu (tiga), dua kes masing-masing di Kedah dan Perak, serta satu kes masing-masing di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perlis.

Tiada kes kematian akibat strok haba dilaporkan pada ME 29/2023 dan ini menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba sehingga tempoh tersebut adalah dua kematian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here