JOHOR BAHRU, 30 Julai – Kekuatan kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan maritim Indonesia dan Singapura dapat menjamin keamanan di sempadan perairan sekali gus mengelakkan daripada dipengaruhi kuasa luar. 

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata konflik di Laut China Selatan merupakan antara contoh isu yang menunjukkan kepentingan kekuatan kerjasama antara ketiga-tiga negara itu.

“Dengan kekuatan kerjasama ini, mereka (kuasa luar) mungkin tahu bahawa kita mampu untuk menjaga kedaulatan kita di Selat Melaka dan Laut China Selatan serta tidak memihak kepada sesiapa. 

“Jika mereka lihat kita (tiga negara) ini tidak ada hubungan yang begitu bagus, maka akan mudahlah untuk mereka mempengaruhi,” katanya.

Aminuddin berkata kerjasama erat akan memberikan limpahan ekonomi kepada ketiga-tiga negara berkenaan yang berada di sekitar perairan Selat Melaka yang merupakan antara laluan perkapalan yang sibuk.

Sementara itu Aan berkata negara jiran seperti ketiga-tiga negara itu harus mempunyai hubungan yang erat untuk membantu antara satu sama lain, dalam masa sama menghormati kedaulatan negara masing-masing. 

Beliau berkata ia antara lain akan memberikan manfaat dari segi perkongsian maklumat dan bantuan bagi mematahkan kes jenayah rentas sempadan seperti APMM yang membantu BAKAMLA untuk menahan kapal tangki berbendera Iran yang memindah secara haram minyak mentah bernilai 4.6 trilion rupiah atau RM1.38 bilion pada 7 Julai lepas.

“Kejadian ini merupakan antara contoh kerjasama kita, BAKAMLA mengesan kapal itu yang melakukan pemindahan minyak mentah secara haram di perairan Indonesia sehingga kapal itu memasuki ke perairan Malaysia. 

“BAKAMLA meminta izin untuk memasuki perairan Malaysia sehingga APMM menghantar pasukan khusus mereka untuk membantu. Ini sangat luar biasa dan saya sangat menghargai tindakan pantas yang diambil, saya harap hubungan baik ini antara Malaysia dan Indonesia serta Singapura juga terus erat,” katanya.

Cheang pada masa sama turut memuji kejayaan APMM dan BAKAMLA yang menunjukkan kepentingan kerjasama agensi maritim antara negara dalam menyelesaikan isu perairan.

“Walaupun Singapura tidak terlibat dalam operasi ini, tetapi saya fikir insiden ini serlahkan kepentingan bagi pelbagai agensi pengawal pantai untuk bekerjasama menangani isu-isu di laut.

“Saya amat gembira mengetahui kerjasama antara APMM dan BAKAMLA ini yang beroleh kejayaan, semoga kita dapat bekerjasama pada masa akan datang bagi meningkatkan keselamatan komuniti maritim di rantau ini,” katanya.

Terdahulu, Aan menyerahkan sijil penghargaan kepada APMM atas bantuan yang diberikan agensi itu bagi memintas dan menahan kapal tangki terbabit dengan penahanan 28 anak kapal warga Syria bersama tiga penumpang lain. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here