KUCHING, 3 Ogos – Sarawak menetapkan sasaran penjanaan tenaga lapan gigawatt (GW) menerusi loji hidroelektriknya pada 2030.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri, Dr Hazland Abang Hipni berkata penjanaan itu diperlukan sektor perindustrian pada masa hadapan serta akan menyokong agenda ekonomi hidrogen Sarawak.

Beliau berkata sasaran itu boleh dicapai menerusi pelaksanaan solar terapung di loji hidroelektrik negeri ini bagi meningkat penjanaan kuasa.

“Kapasiti tenaga kita sekarang tidak mencukupi terutama untuk industri hidrogen pada masa hadapan yang memerlukan tenaga yang banyak.

“Sasaran lapan GW ini boleh dicapai menerusi solar terapung dan kita akan mula di empangan Batang Ai tidak lama lagi selain memperkenalkan empangan melata yang bertingkat,” katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.

Solar terapung atau fotovolta terapung (FPV) ialah panel solar yang dipasang pada struktur yang terapung di atas permukaan air, lazimnya di kawasan tasik.

Pada 31 Mei lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tenaga hidro masih menjadi tumpuan utama sumber tenaga Sarawak dan telah menyarankan agar Sarawak Energy Bhd meneroka pembinaan empangan kuasa hidro di Sungai Trusan di Lawas.

Loji hidroelektrik pertama Sarawak Energy, empangan Batang Ai berkuasa 108 megawatt (MW) telah beroperasi pada 1985, diikuti oleh Bakun (2,400MW) pada 2011 dan Murum (944MW) pada 2014.

Pada masa ini, projek hidroelektrik Baleh (1,285MW) sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2027.

Jumlah kapasiti terpasang loji hidro besar Sarawak Energy ialah 3,452MW.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here