KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Malaysia berada dalam kedudukan yang amat baik untuk menjayakan visi era digital keemasan dalam konteks Malaysia MADANI disebabkan beberapa faktor termasuk tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memacu ekonomi digital, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

“Sebagai contoh, bukan sekadar e-dagang tetapi sebagai programmer (pengaturcara), pembangun aplikasi baharu dan terlibat dalam (aktiviti) hiliran untuk menghasilkan produk yang lebih rumit,” katanya dalam program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Naratif Khas – “Ekonomi Madani : Kerangka Digitalisasi” malam tadi.  

Pada masa yang sama, menteri itu berkata kerajaan perlu menarik minat syarikat dalam dan luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi operasi perniagaan dan perkhidmatan mereka.

Tambahnya, pelaburan daripada syarikat yang berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perkhidmatan perniagaan mereka di rantau Asia Tenggara boleh direalisasikan dengan kestabilan politik dan kepimpinan kerajaan yang mempunyai wawasan dan hala tuju ekonomi yang jelas.

“Kita sudah mula melihat perkara ini apabila kita mendapat persetujuan Tesla untuk menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di Cyberjaya dan tidak mustahil pelaburan besar seperti Geely dari China dan syarikat lain akan melakukan perkara yang sama tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata harga internet jalur lebar dijangka berkurangan menjelang September ini.

“Kalau semua berjalan dengan lancar, perbincangan di peringkat kementerian, insya-Allah akan ada berita sangat baik bagi rakyat Malaysia pengguna perkhidmatan telekomunikasi,” katanya. 

Fahmi turut memaklumkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada akhir Mac lepas telah mengumumkan Pakej Perpaduan untuk perkhidmatan prabayar dan jalur lebar, yang mana harga prabayar dikurangkan daripada RM10 ke RM5 sebulan dengan peningkatan kelajuan daripada 1 Mbps ke 3 Mbps 

Manakala, bagi Pakej Perpaduan internet jalur lebar pula, harga telah diturunkan daripada RM89 sebulan ke RM69 sebulan. 

“Malah, ada beberapa penyedia perkhidmatan internet mengurangkan harga kepada RM39 sebulan,” katanya.

Mengulas mengenai perkhidmatan internet satelit Starlink, beliau berkata pemilihan perkhidmatan Starlink adalah untuk membantu mengatasi masalah capaian internet di kawasan terpencil.

Beliau berkata bahawa capaian internet 4G di seluruh negara masih belum mencapai tahap ketersambungan 100 peratus untuk kawasan berpenduduk, sambil menambah pada masa ini, 96.92 peratus kawasan berpenduduk telah mempunyai capaian internet 4G.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here