KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Pengeluar minyak sawit terbesar dunia, Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas bersama (JTF) ad hoc untuk mewujudkan dialog dan aliran kerja yang berkaitan bagi membina persefahaman bersama mengenai pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Ini susulan daripada misi bersama mereka ke Brussels pada Mei, dengan mesyuarat pertama diadakan pada 4 Ogos di Jakarta, Indonesia.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Makanan dan Perniagaan Tani Indonesia Dr Musdhalifah Machmud, Kementerian Penyelarasan bagi Hal Ehwal Ekonomi (CMEA), Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Malaysia Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Pengarah Diplomasi dan Multilateralisme Hijau Suruhanjaya Eropah Astrid Schomaker.

Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah membantu menjayakan mesyuarat yang dihadiri oleh wakil dan pihak berkepentingan komoditi berkaitan dengan EUDR.

Pengerusi bersama akan mencari kepentingan bersama antara negara pengeluar dan negara pengguna dengan platform JTF sebagai mekanisme perundingan untuk menyokong penyelarasan dan menggalakkan persefahaman bersama antara Indonesia, Malaysia dan Kesatuan Eropah.

“JTF ad hoc bertujuan untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh Indonesia dan Malaysia berkaitan pelaksanaan EUDR serta mengenal pasti penyelesaian praktikal dan pendekatan yang relevan bagi pelaksanaan peraturan itu,” demikian menurut satu kenyataan bersama oleh kedua-dua kerajaan, CPOPC dan Kesatuan Eropah (EU).

Musdhalifah berkata, persefahaman bersama telah dicapai manakala Mad Zaidi menegaskan bahawa kerjasama itu merupakan jalan penyelesaian yang boleh dicapai menerusi amalan terbaik dalam seluruh  sektor.

Sementara itu, Schomaker mengakui akan kemajuan yang telah dicapai oleh Indonesia dan Malaysia dalam mengurangkan penebangan hutan dan mengalu-alukan perkongsian maklumat dan penjelasan lanjut tentang peraturan tersebut.

JTF akan berusaha menangani isu seperti pekebun kecil dalam rantaian bekalan, skim pensijilan nasional (kesahan tanah dan tarikh tamat penebangan hutan), pengesanan pengeluar kepada pengguna akhir, data saintifik tentang penebangan hutan dan degradasi hutan serta perlindungan data.

Pasukan petugas itu akan memuktamadkan usahanya pada akhir 2024 dengan kemungkinan akan diteruskannya sekiranya dipersetujui bersama.

Mesyuarat seterusnya dijadualkan buat sementara waktu pada akhir November 2023 dan negara tuan rumah akan diumumkan kemudian nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here