KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Program keceriaan antara kementerian sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2023 memberi peluang kepada penjawat awam mempamerkan rasa cinta dan patriotik kepada negara selain menerapkan semangat berpasukan.

Menerusi inisiatif itu melibatkan 25 kementerian, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata setiap kementerian akan dinilai berdasarkan tiga aspek iaitu kreativiti, daya cipta dan nilai tambah yang digabungkan dalam hiasan bertemakan Hari Kebangsaan di premis dan ruang pejabat masing-masing. 

“Kami menekankan supaya mereka menggunakan bahan kitar semula seperti botol air dan kotak kerana kreativiti bukanlah berpandukan kualiti material semata-mata tetapi cara menggunakan bahan tersebut dan menterjemahkannya seiring tema sambutan.

“Penilaian juga akan dilihat dengan melibatkan semua peringkat pegawai, maknanya ada penglibatan semua pihak kerana yang penting semangat berpasukan. Walaupun penilaian dibuat di tempat tertentu di premis kementerian, kita galakkan untuk hias seluruh bangunan kalau ada kemampuan,” katanya.

Mohamad Fauzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata program keceriaan itu bermula sejak majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 16 Julai dan diteruskan sehingga 16 Sept depan, manakala tempoh penilaian akan diadakan dari 10 hingga 22 Ogos. 

Beliau berkata pemenang akan diraikan dalam majlis apresiasi yang akan dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dengan hadiah yang ditawarkan adalah sijil, plag dan wang tunai RM1,000.

Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata acara sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini dijangka menarik sehingga 100,000 pengunjung.

Beliau berkata acara perarakan akan melibatkan 10 kontinjen mengikut kluster seperti kluster ekonomi, perbankan, komunikasi, industri kreatif dan keselamatan.

“Tahun ini juga sekali lagi kami bawakan segmen aksi tempur daripada Angkatan Tentera Malaysia, VAT 69, demonstrasi Unit Pengesan K9, persembahan artis, segmen pergendangan di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,” katanya.

Beliau berkata raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan mulai 25 Ogos. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here