KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memasukkan nama dua individu termasuk menantu bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke dalam senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol), jika gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

“Kami juga telah membuat permohonan kepada pihak berkuasa agar pasport antarabangsa mereka disenarai hitam,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 di sini hari ini.

Beliau berkata SPRM telah banyak kali berhubung dengan peguam kedua-dua individu terbabit, namun mereka masih gagal tampil ke pejabat SPRM seperti yang diarahkan.

Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM mempunyai maklumat mengenai keberadaan individu berkenaan, namun enggan mendedahkannya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Muhyiddin sekiranya diperlukan bagi membantu kes itu.

Sebelum ini, SPRM dalam kenyataan menyebut hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati kedua-dua individu terbabit meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 dan 21 Mei lepas serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

Dalam perkembangan berasingan, Azam berkata SPRM sedang meneliti keterangan baharu sebelum memanggil Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah.

“Pegawai penyiasat kami sedang meneliti keterangan dan bukti-bukti baharu berkenaan. Oleh itu, SPRM telah menangguh dahulu untuk mengambil keterangan Muhammad Sanusi sehingga semuanya selesai,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN), Azam berkata setakat semalam, SPRM menerima 11 laporan mengenai rasuah dan salah laku ketika berkempen.

“Dua laporan diterima di Ibu Pejabat SPRM, manakala sembilan lagi diterima di pejabat SPRM negeri. Pihak kami kini sedang meneliti semua laporan berkenaan sebelum membuat tindakan lanjut,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan serta Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dijalankan serentak pada Sabtu ini (12 Ogos).

Terdahulu, 75 pegawai kadet Penguasa Gred P41 berjaya menjalani kursus asas dan dianugerahkan Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here