KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Aturan antarabangsa sedia ada mesti dipelihara untuk menambah keyakinan terhadap keamanan dunia, kata Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Beliau berkata matlamat dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah landasan penting untuk memastikan kestabilan aturan antarabangsa yang telah menyediakan rangka kerja kukuh bagi pemodenan semua negara.

“Oleh itu, China berpegang teguh pada sistem antarabangsa dengan PBB sebagai terasnya, aturan antarabangsa yang disokong oleh undang-undang antarabangsa dan norma asas hubungan antarabangsa berlandaskan matlamat dan prinsip Piagam PBB.

“China tegas menentang semua tindakan hegemoni, angkuh dan membuli, menolak semua amalan luar biasa dan dwistandard,” katanya semasa berucap pada jamuan makan malam Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-36 di sini, Rabu.

Acara tiga hari itu bertemakan ‘An Age of Strategic Uncertainty’ dan dijadual berakhir pada Khamis.

Teks ucapan beliau disediakan kepada Bernama oleh Kedutaan China di sini.

Ouyang turut menekankan mengenai kepentingan untuk mengukuhkan kesalinghubungan dan bersama mengejar kemakmuran.

“Pembangunan adalah penyelesaian muktamad kepada semua masalah utama dunia. Kita harus memastikan keutamaan diberikan kepada pembangunan, berwaspada agar tidak terpedaya dengan percaturan geopolitik atau keuntungan jangka pendek.

“Ini juga yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam “MALAYSIA MADANI”, yang berasaskan enam nilai teras “kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya.

Diplomat itu juga berkata bahawa lebih banyak pertukaran budaya perlu dijalankan untuk meningkatkan persefahaman dan kepercayaan bersama, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

“Kita harus membiarkan lebih ramai orang belajar bahawa perbezaan bukan untuk saling membenci sebaliknya untuk memahami dan menghormati.

“Dialog antara Islamism dan Konfusianisme” yang dianjurkan oleh Anwar menjadi contoh yang baik untuk diikuti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here