KOTA KINABALU, 10 Ogos – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Biodiversiti Sabah (Pindaan) 2023.

Usul yang dibentangkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir itu adalah untuk memperkasa aktiviti pemuliharaan, penggunaan lestari, pengurusan, penguatkuasaan dan hal-hal berkenaan akses serta perkongsian faedah hasil daripada penggunaan sumber biologi.

Abidin berkata RUU itu juga bagi memperkasa sumber genetik termasuk pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi agar dapat dilaksanakan secara berkesan mengikut perundangan negeri dan antarabangsa yang berkuat kuasa.

Sejak 2018, katanya Pusat Biodiversiti Sabah menerima aduan orang awam mengenai kegiatan penyeludupan keluar biji durian spesies endemik, selain penyeludupan keluar spesimen serangga bagi tujuan penyelidikan tanpa lesen akses dan lesen eksport pusat itu yang dikeluarkan di bawah enakmen berkenaan.

“Sekiranya isu ini dibiarkan, maka sumber biologi Sabah berkemungkinan dieksploitasi dan dikomersialkan di negara lain. Perkara ini akan merugikan kerajaan Sabah sekiranya sumber genetik sumber biologi berkenaan dibangunkan dan dipatenkan di negara lain.

“Cadangan RUU itu penting bagi melindungi spesies tumbuhan terbabit daripada diseludup dan dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Justeru, katanya Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 dipinda untuk mengadakan peruntukan bagi kawalan kepada sumber biologi agar tiada seorang pun boleh menyimpan, menjual, membeli, mengeksport atau mengimport apa-apa sumber biologi dilindungi tanpa lesen sah daripada Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah.

Abidin berkata spesies tumbuhan Phyllanthus rufuschaneyi ialah satu daripada sumber biologi dicadangkan untuk dilindungi dalam RUU berkenaan kerana hasil penyelidikan mendapati spesies tumbuhan itu boleh menyerap logam seperti nikel dan zink.

Mengulas lanjut, Abidin berkata RUU itu juga bertujuan mewujudkan Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah yang bertanggungjawab untuk mentadbir dan mengurus pusat itu, dan ia akan berfungsi secara terus di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah dan tidak lagi bernaung di bawah Pejabat Hasil Bumi.

Usul RUU itu kemudian diluluskan selepas mendapat undian suara terbanyak.

Terdahulu, DUN Sabah meluluskan RUU Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2023 selepas dibentangkan Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Joachim ketika membentangkan RUU itu berkata pindaan itu perlu kerana enakmen sedia ada tidak mencukupi untuk membela nasib pembeli rumah yang berdepan masalah projek perumahan “sakit” seterusnya memastikan masalah tidak berulang pada masa akan datang.

Katanya, pindaan itu juga memastikan pemantauan dan pengawalan ke atas pemajuan perumahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memantapkan lagi tindakan penguatkuasaan bagi mengurangkan masalah pemajuan perumahan di Sabah sekali gus dapat memberi lebih perlindungan kepada pembeli rumah.

Menurutnya, enakmen itu dipinda kali terakhir pada 2007, justeru, terdapat keperluan untuk dikemas kini dan ditambah baik bagi memenuhi tuntutan rakyat khususnya untuk membantu pembeli rumah projek perumahan “sakit” dan memastikan projek itu tidak melarat menjadi perumahan terbengkalai.

Pindaan itu turut melalui proses melibatkan pihak berkepentingan termasuk Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah dan Persatuan Undang-Undang Sabah sebelum dimuktamadkan, selain kajian komprehensif dan rujukan terhadap model undang-undang kerajaan Persekutuan iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, katanya.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya kemudian menangguhkan persidangan itu pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here