PUTRAJAYA, 11 Ogos – Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan 11 universiti Malaysia untuk menggalakkan lagi kerjasama dan peluang pertukaran akademik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

MoU itu ditandatangani oleh Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Turut menyertai MoU itu ialah Universiti Kuala Lumpur, Universiti Multimeda, Universiti UCSI, Universiti Nilai, Universiti Antarabangsa INTI dan Kolej Universiti Selatan.

Memorandum tersebut menandakan pencapaian signifikan dalam menjalinkan hubungan lebih erat dengan program pertukaran Fulbright dan sistem pendidikan tinggi AS, menurut MACEE dalam kenyataan.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Pegawai Diplomasi Awam Kedutaan AS di Kuala Lumpur Nurit Einik. 

Abdul Razak berkata kerjasama itu akan menjadi jambatan penghubung antara Malaysia dengan AS, meneguhkan lagi program Fulbright sebagai satu daripada program pertukaran premier di Malaysia sepanjang 60 tahun kolaborasi penyelidikan, mobiliti pelajar/cendekiawan dan pertukaran budaya.

“Dengan memecahkan halangan dan membuka peluang, kami menyasarkan untuk memperkasakan minda anak muda kita dengan apa yang mereka perlukan untuk membentuk masa depan yang lebih baik,” tambahnya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif MACEE Curtis Johnson berkata: “Saya berharap menerusi kerjasama ini, kita akan memperkasakan generasi akan datang pelajar dan cendekiawan Malaysia dan Amerika untuk terus mengamalkan ‘Diplomasi Pendidikan’ dan terus meningkatkan kesefahaman antara kedua-dua negara menerusi kecemerlangan pendidikan.”

MACEE ditubuhkan pada 1963 bagi menggalakkan pertukaran pendidikan dan budaya antara Malaysia dan AS, khususnya menerusi Program Fulbright.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here