PUTRAJAYA, 11 Ogos – Malaysia dan Indonesia telah mencapai persetujuan bersama untuk meningkatkan tahap kecekapan pengurusan trafik udara bagi memastikan ruang udara di rantau ini kekal sebagai antara paling selamat di dunia.

Komitmen bersama bagi mencapai misi tersebut terkandung dalam perjanjian Prosedur Koordinasi Perkhidmatan Trafik Udara yang dimeterai antara  Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Direktorat Jenderal Perhubungan Udara (DGCA) Indonesia dan AirNav Indonesia.

Majlis memetrai perjanjian tersebut berlangsung di Denpasar, Bali, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Norazman Mahmud, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, sempena perjanjian itu, berkata usaha sama itu akan memperkemaskan lagi penyelarasan proses pengurusan trafik udara dan menjadi lebih harmoni dan cekap.

Norazman menandatangi perjanjian tersebut bagi pihak CAAM bersama  Pengarah Navigasi Udara DGCA Indonesia, Sigit Hani Hadiyanto dan Pengarah Presiden AirNav Indonesia, Polana B. Pramesti.

Norazman berkata perjanjian itu bukan sahaja menggariskan komitmen CAAM, DGCA Indonesia dan AirNav Indonesia ke arah memperkasakan keselamatan dan kecekapan perkongsian ruang udara malah membuktikan wujudnya koordinasi dan kerjasama yang teguh antara semua pihak.

Beliau berkata kerjasama itu juga menjadi bukti kekuatan dan kepercayaan antara kedua-dua negara yang menpunyai visi yang selari tentang masa depan industri penerbangan yang cekap di mana wujudnya ruang udara yang lancar, mempunyai saling hubungan dan peluang yang luas.

“Koordinasi ruang udara yang diselaraskan itu bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan cekap malahan juga memberi kesan baik kepada perkembangan ekonomi dan peluang-peluang lain,” katanya. 

Norazaman berkata dengan meningkatkan kecekapan, kadar kelewatan pesawat akan berkurangan dan keterjalinan meningkat selain membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pelancongan. 

“Kepentingan kepada ekonomi hasil perjanjian ini melangkaui lapangan terbang dan ruang udara, ia menjanjikan pembangunan dan peluang pekerjaan yang lebih luas untuk Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata CAAM akan kekal komited mengukuhkan lagi perjanjian tersebut dengan menetapkan piawaian antarabangsa baharu dalam usaha membangunkan industri penerbangan dan membina asas yang kukuh untuk keselamatan, kecekapan dan pembangunan industri penerbangan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here