KLANG, 13 Ogos – Kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor membuktikan rakyat mengiktiraf kerjasama PH-BN, kata Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata keputusan itu juga menunjukkan kerjasama yang baharu dibentuk itu diterima rakyat untuk diberikan amanah meneruskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Terima kasih kepada pengundi kerana telah memastikan Pasukan Perpaduan yang baharu dibentuk ini menenggelamkan Gelombang Hijau yang direkayasa selepas Pilihan Raya Umum lalu melalui Arus Merah Kuning yang PH-BN gerakkan bersama.

“Walaupun dikatakan akan menerima tentangan sengit, keputusan adalah sebaliknya dan kita hanya kekurangan empat kerusi untuk mencatat kemenangan dua pertiga majoriti,” katanya.

Sidang media itu turut disertai Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Johan Abd Aziz.

Keputusan PRN Selangor menyaksikan gabungan PH-BN memperoleh 34 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) 22 kerusi.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar sementara berkata gabungan PH-BN bersedia untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor bagi melaksanakan semua tawaran dalam manifesto yang diumumkan baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here