KUALA LUMPUR, 16 Ogos – BMI yang juga unit di bawah Fitch Solutions, mengekalkan unjuran harga purata RM3,800 satu tan bagi kontrak niaga hadapan bulan ketiga minyak sawit bulan yang disenaraikan Bursa Malaysia pada 2023 berikutan harga julat lebih kecil dalam suku ketiga 2023.

Setakat pagi ini, kontrak-kontrak tersebut diniagakan pada paras harga purata RM3,804 satu tan bagi asas setakat tahun ini serta di paras harga purata RM3,753 satu tan sepanjang suku ketiga tersebut.

“Harga terbukti kekal dalam julat kecil sehingga tempoh itu dan tidak menguji di paras had minimum atau maksimum dalam separuh pertama 2023. Oleh itu, kami menjangkakan profil risiko jangka pendek akan menyaksikan trend ini berterusan sehingga tempoh berbaki tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada masa sama, BMI juga menjangkakan peningkatan stok simpanan di India dan China selain pertambahan pengeluaran kacang soya global menerusi musim 2023/2024.

Turut dijangkakan adalah tempoh September hingga Oktober ini yang menjadi kemuncak penghasilan buah sawit di dua negara pengeluar utama yang akan menjurus kepada tekanan penurunan harga sehingga tempoh separuh kedua tahun ini.

Selain itu, pasaran minyak diunjur lebih perlahan selepas tempoh suku keempat 2023 susulan sokongan yang diraih pada suku sebelumnya, kata BMI.

“Di samping itu, terdapat tanda-tanda positif dari segi harga minyak bunga matahari yang dijangka menerima sokongan aliran kenaikan selepas penangguhan Inisiatif Bijirin Laut Hitam (BSGI) pada 17 Julai dan peningkatan aktiviti berkaitan di Laut Hitam,” katanya.

BSGI merujuk kepada perjanjian Rusia-Ukraine yang diusahakan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

BMI berkata, tempoh kemuncak fonemena cuaca El Nino akan turut mendorong peningkatan permintaan minyak sawit, terutamanya jika terdapat jangkaan bahawa keadaan El Nino akan menjadi lebih buruk.

Perkembangan itu akan hanya merangsang peningkatan prospek harga purata minyak sawit dalam tempoh 12 hingga 18 bulan berikutnya yang bergantung kepada corak iklim.

Menurutnya, pada tempoh El Nino 2014-2016, tahap kelembapan di bawah purata yang berlaku di seluruh Indonesia dan Malaysia telah memacu kenaikan harga minyak sawit pada suku keempat 2015 dan seterusnya memuncak pada suku terakhir 2016 dengan meraih kira-kira RM1,000 satu tan dalam tempoh berkenaan.

“Kami mengunjurkan pengeluaran minyak sawit global meningkat sebanyak 3.6 peratus tahun ke tahun kepada 80 juta tan metrik manakala penggunaannya juga bertambah 3.7 peratus kepada 78.9 juta tan bagi 2023/2024.

“Ini akan menyaksikan keseimbangan minyak sawit global kekal tidak banyak berubah berbanding dengan unjuran lebihan sebanyak 1.1 juta tan pada 2022/2023,” katanya.

BMI turut mengekalkan unjurannya bagi 2024 bahawa harga purata minyak sawit berada di paras RM3,400 satu tan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here