SANDAKAN, 16 Ogos – Keinginan kepada keamanan perlu melangkaui zaman kerana perang dan konflik hanya membawa kemusnahan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam ucapan sempena Hari Peringatan Sandakan yang berlangsung di Taman Peringatan di sini hari ini, beliau berkata rakyat Sabah mengingati keberanian Tentera Bersekutu yang berjuang dalam Perang Dunia Kedua  

“Marilah kita renungkan makna yang mendalam tentang keamanan dan bahawa peperangan serta konflik hanya membawa kepada kemusnahan. Kedua-duanya tidak sepatutnya berlaku.

Kami sangat bersyukur dan kami akan sentiasa mengingati pengorbanan dan sumbangan perajurit-perajurit itu untuk mengekalkan keamanan di negeri kami,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri  Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata hari ini merupakan ulang tahun ke-78 tamatnya perang itu pada 1945 dengan askar-askar Tentera Bersekutu yang terkorban masih berlegar di minda ahli keluarga.

“Dalam memperingati keberanian mereka, kami juga memperingati masyarakat tempatan yang mempertaruhkan nyawa mereka dan yang terkorban semasa mambantu Tentera Bersekutu. Marilah kita memperingati mereka dan individu yang lain sebagai wira,” katanya.

Ketua Menteri berkata memperingati hari ini setiap tahun akan mengeratkan lagi hubungan antara Australia, England, Malaysia terutamanya Sabah.

Beliau juga menghargai usaha Majlis Perbandaran Sandakan, Lembaga Pelancongan Sabah dan jawatankuasa penganjur atas dedikasi yang berterusan untuk memperingati mereka yang gugur dan supaya kisah perjuangan mereka sentiasa diingati.

“Adalah penting buat kami termasuk anak-anak kami diingatkan mengenai sebahagian daripada sejarah ini untuk mengetahui apa yang kami hilang dan kebebasan yang kami peroleh sebagai balasan,” katanya.

Hajiji juga mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Tinggi British dan Australia di Malaysia di atas sokongan berterusan bagi memastikan lipatan sejarah ini diingati bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here