KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Kementerian Pertahanan akan bekerjasama dengan agensi pusat untuk merangka struktur baharu Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pendekatan itu akan membolehkan ATM seiring dengan organisasi siber pertahanan yang lain di rantau dan dunia, selaras dengan Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan keperluan menubuhkan organisasi khusus untuk mengendalikan domain siber.

“Membina langkah keselamatan siber yang teguh dan memupuk kesedaran keselamatan siber adalah kritikal. Tanpanya, insiden seperti pelanggaran data dan gangguan infrastruktur kritikal akan menghakis integriti dan kredibiliti mekanisme pertahanan kita.

“Ini akan menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur dan rakyat memandangkan medan pertempuran hari ini melangkaui darat, laut dan udara untuk merangkumi dunia siber,” katanya pada ucapan perasmian Siber Siaga 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas tentang Siber Siaga 2023, Adly berkata program itu bertujuan meluaskan dan memperkukuh kerjasama merentas sektor dalam kalangan agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan komuniti siber.

Adly berkata medan perang digital moden ialah persekitaran kompleks yang memerlukan pelarasan dan penggunaan teknologi siber yang baru muncul untuk mencapai objektif ketenteraan sambil meminimumkan kesan yang tidak diingini.

“Siber Siaga 2023 mewujudkan platform yang akan menyokong dalam membolehkan asas bagi kerjasama yang komprehensif dan inklusif dalam kalangan sektor, dan secara ideal menyumbang kepada konsep Pertahanan Komprehensif, satu daripada tonggak strategi dalam Strategi Pertahanan Malaysia,” katanya.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Jen (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin dan Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin.

Sementara itu, Shamsuddin berkata Siber Siaga 2023 mewujudkan platform bagi pemimpin keselamatan siber ASEAN saling bertukar idea ke arah mengembangkan agenda keselamatan siber.

“Pertemuan bersejarah ini juga telah membuka ruang kerjasama dalam membentuk satu komuniti siber ASEAN. Beberapa keputusan telah diperoleh dalam membangunkan keupayaan siber dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya.

Siber Siaga 2023 dan CyberDSA 2023 yang diadakan bermula semalam hingga esok, menarik penyertaan 70 syarikat, 1,100 ahli profesional, 18 universiti tempatan dan agensi kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here