JAKARTA, 20 Ogos – Malaysia meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk melaksanakan prinsip peralihan yang adil ke arah penerapan kelestarian bagi mencapai peningkatan sosioekonomi yang berdaya tahan serta mampan.

Penekanan itu dinyatakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di mesyuarat Menteri Ekonomi Asean-Perundingan Pesuruhjaya Perdagangan EU di Semarang, Indonesia, hari ini.

Dalam catatan di akaun laman sosial Instagram beliau hari ini, Tengku Zafrul menegaskan bahawa peralihan yang adil itu juga memerlukan sumber dan sokongan untuk membantu selain memberi tempoh sesuai bagi sektor awam dan swasta Asean melaksanakan matlamat pembangunan mampan.

“Jadi…jangan mendiskriminasi mana-mana pihak Asean atas dasar ketidakpatuhan syarat-syarat lestari yang disebabkan oleh kekurangan sumber dan kapasiti,” kata beliau.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul turut menekankan agar EU mengelak daripada melaksanakan langkah-langkah unilateral atau sebelah pihak yang boleh menjejaskan landskap persaingan untuk syarikat-syarikat domestik di Asean.

“Inilah konsep (saling) lengkap-melengkapi yang bakal menghasilkan hasil lebih bermanfaat dan berimpak tinggi untuk semua,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan peranan EU yang banyak membantu dalam usaha pembinaan kapasiti sektor awam dan perniagaan Asean melalui Pelan Perkongsian Strategik Asean-EU 2023-2027.

Sebagai contoh, inisiatif ‘Enhanced Regional EU-ASEAN Dialogue Instrument’ (E-READI) yang merangkumi 34 bidang dasar keutamaan di bawah lima teras iaitu ekonomi-perdagangan, matlamat pembangunan mampan (SDG), hak asasi manusia dan kesaksamaan jantina, sains dan penyelidikan serta alam sekitar dan perubahan iklim.

Tengku Zafrul turut menzahirkan penghargaan bagi sumbangan EU dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia termasuk pengumuman pelaburan tambahan bernilai RM25 bilion oleh syarikat Jerman, Infineon, baru-baru ini.

“EU adalah salah satu rakan dagang dan sumber pelaburan langsung asing terpenting bagi Asean. Pelbagai perniagaan EU telah beroperasi di beberapa negara Asean, termasuk Malaysia, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Bagi tempoh Jan-Julai 2023, jumlah perdagangan Malaysia-EU mencecah RM118.6 bilion atau hampir lapan peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here