JOHOR BAHRU, 20 Ogos – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan muda terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Menterinya Chang Lih Kang berkata jawatankuasa itu akan melibatkan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata langkah itu diambil berikutan statistik menunjukkan terdapat penurunan minat dalam kalangan pelajar lepasan sekolah yang mengikuti bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), trend yang membimbangkan kerana Malaysia dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang 2030.

“Jawatankuasa khas ini berperanan mencari kaedah terbaik dalam mempromosikan STEM. Kerja-kerja awal telah dilaksanakan, namun jawatankuasa ini akan bermula secara rasmi dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Rosli Md Illias.

Chang berkata antara faktor menyebabkan STEM kurang diminati golongan muda ialah kesukaran menguasai aliran tersebut, proses pengajaran yang kurang menarik serta prospek pekerjaan dalam bidang itu yang masih rendah.

Menurutnya menjadi tanggungjawab kerajaan dalam mempromosikan STEM dari peringkat awal persekolahan, sama ada melalui pendidikan formal mahupun kurang formal termasuk mempelbagaikan kaedah pengajaran seperti mengadakan program Minggu Sains Negara.

“Selain itu, kita juga menyeru pemain industri khususnya syarikat besar dan perindustrian untuk sama-sama mengaplikasikan sains dan teknologi dalam perusahaan mereka, kesemua ini sedang diusahakan MOSTI,” katanya.

Pada 20 Julai lepas, Chang dilapor berkata berdasarkan data KPM tahun lepas, peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM dari 2017 hingga 2022 menurun daripada 45.20 peratus kepada 40.94 peratus.

Beliau dipetik berkata kajian sama turut menunjukkan penurunan minat terhadap sains dalam kalangan pelajar kepada 40 peratus pada 2022 berbanding 66.7 peratus pada 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here