KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Seramai 2,666 anggota polis akan bertugas pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya, 31 Ogos ini.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman DCP Gilberd Philip Layang berkata penugasan itu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman orang ramai yang hadir menyaksikan acara itu selamat selain mengawal laluan trafik.

“Seramai 1,560 anggota pula akan terlibat secara langsung dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan terbabit antaranya daripada Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Khas 69 Komando.

“Selain itu, aset haiwan daripada Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sebanyak 30 ekor dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia sebanyak 18 ekor juga terlibat dalam perbarisan dan perarakan itu,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di saluran RTM1, hari ini.

Gilberd berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain akan turun padang dan mengetuai sendiri Unit Berkuda FRU dalam perbarisan itu dan bersama-sama dengan anggota lain bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Wilayah Persekutuan Norahiza Abdul Rahman dalam program sama berkata ketika ini persiapan sambutan itu sudah mencapai 95 peratus dan hanya tinggal beberapa perkara sahaja untuk disiapkan sepenuhnya.

“Secara keseluruhan, seramai 17,000 peserta melibatkan 65 kontinjen dan 37 pasukan pancaragam akan mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dan dijangka menggamit kira-kira 100,000 pengunjung yang akan membanjiri Dataran Putrajaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here