JOHANNESBURG, 24 Ogos — Kumpulan Media China (CMG) dan Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA) sepakat untuk bersama-sama berusaha memperkukuh interaksi budaya bola sepak dan acara sukan, serta penyiaran acara, kerjasama kandungan dan lawatan pertukaran kakitangan.

Kesepakatan itu dicapai dalam majlis pertukaran memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak yang diadakan di sini, pada Rabu.

Presiden CMG Shen Haixiong dalam ucapannya menyifatkan sukan sebagai bahasa umum manusia dan pertukaran sukan adalah komponen penting bagi interaksi sosiobudaya China-Afrika Selatan.

Ketika pertemuan bersama rakan sejawatan dari SAFA, Danny Jordaan, Shen berkata bahawa kerjasama dan pertukaran antara pihaknya dan badan bola sepak itu dilakukan sejurus lawatan Presiden Xi ke Afrika selatan.

“Ia secara tidak langsung mencerminkan sepenuhnya jalinan muhibah yang mendalam dalam hubungan China-Afrika Selatan,” kata beliau.

Tambah Shen, kerjasama dua hala dengan menjadikan bola sepak sebagai medium akan membantu menggalakkan pembangunan bola sepak dan penyebaran budaya bola sepak China-Afrika Selatan.

Pada masa sama, beliau berkata ia juga secara aktif dapat melonjakkan ikatan muhibah kedua-dua negara ke arah yang lebih berkualiti, meluas dan mendalam.

Jordaan dalam ucapannya turut memuji CMG yang berpengalaman dan cemerlang dalam penyiaran serta laporan acara sukan berskala besar seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

Justeru, beliau berharap CMG dapat memberikan tumpuan terhadap bola sepak Afrika Selatan, dan menyiarkan acara pertandingan bola sepak negara itu.

“Kerjasama rapat CMG-SAFA dinanti-nantikan dalam usaha mendorong  pembangunan pertukaran bola sepak China-Afrika Selatan dan mengekalkan persahabatan dalam kalangan rakyat kedua-dua negara,” kata Jordaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here