KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Syarikat penerbangan berpangkalan di Taiwan, EVA Air melancarkan kempen ‘Elevating Your Experience’ (Tingkatkan Pengalaman Anda) khusus bagi pengembara Malaysia untuk menyelami pengalaman perjalanan udara yang serba selesa serta mudah.

Pengurus Besar EVA Air Malaysia Jack Tseng berkata syarikat penerbangan tersebut mempelawa rakyat Malaysia untuk “menikmati pengalaman penerbangan yang melangkaui daripada biasa”.

“Kami berbesar hati untuk memberi inspirasi serta menyemarakkan semangat para pengembara kami dengan memastikan setiap penerbangan menerusi EVA Air menjadi satu perjalanan penuh penerokaan, keselesaan dan keterujaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan laluan dari Kuala Lumpur ke beberapa bandar di Eropah seperti Milan, Munich, Paris, Vienna, London dan Amsterdam. 

Menurutnya, penumpang bagi laluan ke Eropah menerusi Taiwan akan melalui “pengalaman penerbangan yang lancar dengan sentuhan kemesraan dan hospitaliti Taiwan.”

“Kempen ini diilhamkan untuk menyuntik inspirasi dan meningkatkan pengalaman deria serta nilai-nilai yang dititikberatkan oleh pengembara moden,” katanya. 

Ini juga memaparkan komitmen EVA Air yang berusaha mencipta pengalaman tidak dapat dilupakan dengan inovasi canggih selain turut bekerjasama dengan cef-cef tersohor bagi menaik taraf sajian hidangan.

Sejajar dengan kempen berterusan itu, EVA Air akan membolehkan orang ramai menyelami pengalaman tawaran yang ditawarkan menerusi trak khas bercirikan Realiti Terimbuh (AR) ditempatkan di Starhill, Bukit Bintang (24-27 Ogos) serta The Sphere, Bangsar South, di sini, dari 10 pagi hingga 10 malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here