KANGAR, 24 Ogos — Penyelidikan terhadap manuskrip Melayu lama perlu diperluas serta disinergikan dengan kecekapan ilmu sains teknologi terkini bagi memastikan bahasa serta budaya Melayu terus dikenali oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah bahasa dan ilmu persuratan Melayu merupakan  khazanah warisan ilmu bangsa Melayu dan ia sebelum ini telah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

“Manuskrip Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Aceh telah diangkat dan diwartakan sebagai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu atau (UNESCO),” titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  di sini hari ini.

Menurut kenyataan tersebut baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Seminar Antarabangsa Integrasi Alam dan Tamadun (SUTERA) 2023 & SEMALU III  dengan tema “Budaya Penyelidikan Watan: Melestari Identiti Keunikan ASEAN” di Thaksin University (TSU), Songkhla, Thailand hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir pada majlis tersebut Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli, Pro Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Roslee Rajikan dan Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia Dr Aini Andria Shirin Anuarudin.

Titah baginda KPT diseru untuk menitikberatkan pengukuhan adat, adab dan bahasa dalam kalangan generasi masa kini bukan sahaja dalam negara malah sehingga ke luar negara.

Menurut kenyataan tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah sebagai Pro Canselor UniMAP  berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dengan membuka Manuskrip yang dipersembahkan oleh Pengarah Program Bersama SUTERA 2023 & SEMALU III, Mohd Zaki Abdul Halim sambil diiringi alunan syair dan Nazam Kanzul ‘Ula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here