JOHOR BAHRU, 27 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang meletakkan syarat mewajibkan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dahulu, jika mahu membeli gula pasir kasar.

 Pemangku Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata tindakan undang-undang, akan diambil ke atas mana-mana pihak mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran pengawal bekalan.

“Syarat itu tidak boleh diletakkan dan kalau ada, sila laporkan kepada kita kerana di bawah perintah bekalan itu, peniaga tidak boleh meletakkan syarat sedemikian dan kita akan ambil tindakan bersesuaian.

“Kita ada terima (aduan) dan kita dapat selesaikan aduan itu serta merta,” katanya selepas Program Bimbingan Usahawan & Sesi Libat Urus bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor, di Hotel Holiday Villa di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu sebuah premis perniagaan di Batu Gajah, Perak, diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.

Semalam, sebuah premis perniagaan di Batu Gajah diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.

Armizan dalam pada itu berkata KPDN bersama beberapa kementerian seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), mencari solusi jangka panjang bagi mengatasi isu gula.

“Isu ini memerlukan solusi jangka panjang yang melibatkan beberapa kementerian dan baru-baru ini pun saya mempengerusikan beberapa mesyuarat, untuk mencari solusi jangka panjang.

 “Kita juga akan pastikan pengilang yang bertanggungjawab untuk membekalkan gula rakyat bertapis putih (kasar dan halus) sebanyak 42,000 metrik tan sebulan, itu yang mereka perlu tunaikan begitu juga pemborong kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Syarikat 2016, akan dibentangkan Oktober depan bagi memperkenalkan peruntukan baru untuk membantu syarikat yang mengalami masalah kewangan secara menyeluruh, bukan hanya ketika berlaku pandemik.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata sebanyak 13 sesi libat urus telah dijalankan KPDN, dan draf pindaan tersebut telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara.

Armizan berkata beberapa sesi libat urus peringkat akhir dalam kalangan Ahli Parlimen akan dilakukan sebelum RUU tersebut dapat dibentangkan.

Beliau berkata pindaan ini dapat mengukuhkan lagi peruntukan tadbir urus, dengan menambah baik kerangka pelaporan pemunyaan benefisial, bagi mengekang aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai dengan menyalahgunakan entiti perniagaan bagi melindungi kegiatan jenayah berkenaan.

“Pindaan  bertujuan memperkukuh Mekanisme Penyelamat Korporat (CRM), membantu usahawan, yang terkesan dengan masalah kewangan.

“Selain itu, pindaan itu juga selari dengan piawaian antarabangsa, untuk mengukuhkan pelaporan hak milik bermanfaat, bagi membolehkan syarikat tempatan mematuhi amalan tadbir urus baik,” katanya.

Armizan berkata perkara itu secara tidak langsung, memudahkan siasatan pihak berkuasa terhadap sebarang salah laku dalam kalangan syarikat, serta memudahkan siasatan dilakukan terhadap pihak-pihak tertentu, yang berselindung untuk melakukan jenayah menggunakan entiti perniagaan.

“Jadi ini merupakan apa yang dilakukan di peringkat antarabangsa, jadi Malaysia juga perlu untuk mengukuhkan pelaporan melalui pindaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here