KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming baru-baru ini mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Singapura, untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara jiran itu.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu merupakan usaha berterusan, bagi mengukuhkan hubungan erat sedia ada memandangkan Singapura merupakan negara jiran dan rakan penting bagi Malaysia.

Menurut kenyataan itu interaksi yang tulus dan erat antara kepimpinan kedua-dua negara, telah dapat menghasilkan kerjasama demi kepentingan bersama dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Hubungan mesra antara Malaysia dan Singapura juga memberi sumbangan kepada keamanan dan pembangunan rantau ini. Oleh itu, kedua-dua kerajaan dan masyarakat sivil perlu memperkukuhkan kerjasama dan bersama-sama membentuk masa depan,” menurut kenyataan KPKT itu.

Lawatan rasmi berkenaan turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Jayaselan K. Navaratnam dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.

Kenyataan KPKT itu memaklumkan, Nga dalam lawatan rasmi berkenaan telah turut melawat pelbagai projek berlandaskan strategi utama kementerian, termasuk flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura (HDB), projek pembangunan semula bandar, fasiliti pengurusan sisa pepejal, projek pemuliharaan bangunan warisan dan loji jana kuasa tenaga boleh diperbaharui.

Beliau turut memenuhi jemputan ke mesyuarat bersama Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Negara Kanan Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Negara Sim Ann.

Nga dalam kenyataan itu berkata selain menjadi rakan dagang dan pelaburan penting bagi Malaysia, kuasa beli yang kukuh dalam kalangan pelancong Singapura, memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan berterusan ekonomi Malaysia.

“Selain itu, Singapura telah mencapai kejayaan yang luar biasa dalam pembinaan perumahan awam, inisiatif hijau bandar, pembangunan semula bandar, penghasilan tenaga boleh diperbaharui, usaha anti rasuah dan lain-lain.

“Justeru, pencapaian-pencapaian ini patut dicontohi dan memberikan peluang pembelajaran yang berharga bagi Malaysia,” katanya.

Nga berkata menjelang 2030, jumlah penduduk kesemua negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), akan mencapai 650 juta penduduk dan menjadikannya ekonomi keempat terbesar di dunia.

Justeru beliau berkata mengekalkan kerjasama rapat dan pembangunan aman dalam rantau ASEAN merupakan satu asas yang penting, untuk mencapai kestabilan dan kemakmuran jangka panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here