BEIJING, 1 Sept – Balai cerap China pada Jumaat mengulangi amaran tahap merah bagi taufan Saola dan Haikui yang dijangka membawa angin ribut dan hujan lebat ke kawasan pantai selatan negara itu, lapor Xinhua.

Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC), Taufan Saola, taufan kesembilan tahun ini, bergerak ke arah barat laut dan barat pada kelajuan 10-15 kilometer sejam.

Taufan itu berkemungkinan mendarat di kawasan pantai dari Huidong ke Taishan di Wilayah Guangdong di selatan China dari petang Jumaat hingga pagi Sabtu, atau bergerak ke arah barat daya dari kawasan pantai berhampiran bahagian tengah Guangdong. 

Taufan Haikui, taufan ke-11 tahun ini, bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 15-20 kilometer sejam, dan secara beransur-ansur menghampiri kawasan pantai berhampiran timur China.

Menurut NMC, taufan itu mungkin melalui Pulau Taiwan dan memasuki Selat Taiwan sebelum menghampiri pantai Fujian sekitar Ahad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here